Perkahwinan KANAK-KANAK Bawah Umur

Pada suatu ketika dahulu, andai ada wanita mahupun lelaki yang lanjut usianya masih tidak dilamar atau berkahwin, mesti akan terdapat pelbagai sindiran mahupun bualan daripada masyarakat yang terdekat. Namun kini, peredaran zaman yang lebih maju dan moden menuntut ramai wanita dan lelaki mengejar impian dan kerjaya masing-masing sama ada untuk keperluan diri mahupun kepuasan diri. Walau bagaimanapun, baru-baru ini dapat dilihat perkahwinan pada usia muda mula menjadi trend masyarakat di Malaysia. Perkara ini kemudiannya menarik perhatian daripada pelbagai pihak setelah perkahwinan remaja bawah umur mula menjadi ‘viral’ di laman sosial serta laporan berita di kaca televisyen. Hal ini menjadi lebih hangat diperkatakan oleh rakyat Malaysia apabila Malaysia digemparkan dengan kes perceraian pasangan bawah umur tersebut pada tahun 2013 yang berkahwin tidak sampai setahun (Sinar Harian, 2013; Astro Awani, 2013). Pada tahun yang sama juga satu lagi pasangan remaja berumur 15 dan 16 tahun telah berkahwin dengan persetujuan kedua ibu bapa masing-masing (Hamid Karim, 2013). Pada tahun 2014 pula, satu lagi perkahwinan remaja mula menjadi ‘viral’ di laman sosial akibat faktor umur pasangan yang terlalu muda iaitu 15 dan 17 tahun (Hafidzul Hilmi Mohd Noor, 2014). Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) turut menyatakan kebimbangan dengan peningkatan permohonan berkahwin bawah umur dalam kalangan remaja meningkat yang kebanyakannya dikatakan akibat daripada kehamilan luar nikah (Sharani Ismail dan Zanariah Abd Mutalib, 2011).

Situasi mahupun isu berkaitan perkahwinan remaja bawah umur ini mendapat pelbagai pandangan daripada masyarakat. Ada yang sesetengahnya berpandangan bahawa perkahwinan bawah umur tidak patut dibenarkan manakala ada juga yang berpandangan sebaliknya. Dalam membincangkan soal perlu atau tidak sesebuah perkahwinan bawah umur itu dibenarkan, selain mengutamakan hukum syarak serta sebab mengapa ia dibenarkan, kesan perkahwinan dari sudut pasangan tersebut juga patut diambil kira. Sebagai contoh, kesan perkahwinan terhadap pembangunan remaja tersebut dari segi rohani mahupun jasmani.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, kesan perkahwinan di bawah umur lebih dirasai remaja perempuan berbanding lelaki kerana mereka yang akan melalui proses kehamilan dan melahirkan anak (Muhammad Naim Fital, 2013). Selain itu, remaja perempuan juga merupakan golongan yang mempunyai risiko dua kali ganda mengalami komplikasi sehingga boleh meninggal dunia ketika melahirkan anak berbanding yang berusia 20-an (Hayward, 2011).

Memandangkan sikap sosial terhadap kehamilan remaja dan ibu biasanya negatif dan terdapat bukti empirikal menunjukkan bahawa kehamilan remaja adalah yang paling sering tidak dirancang serta bahawa ibu-ibu remaja adalah yang paling kurang bernasib baik dari segi ekonomi dan material, ia adalah munasabah untuk menjangkakan kadar kemurungan selepas bersalin yang lebih tinggi. Tambahan pula, remaja sering digambarkan dalam kesusasteraan psikologi sebagai waktu krisis kerana ia dikatakan peringkat yang penting dalam pembangunan jangka hayat apabila individu itu berjuang dengan peralihan dari zaman kanak-kanak kepada dewasa (Irvin et.al, 1997).

Berdasarkan kajian terhadap otak manusia yang telah dijalankan oleh National Institute of Mental Health (NIMH) pada tahun 2000 pula mendapati bahawa bahagian otak yang terbabit dalam kewarasan alasan, pemikiran logikal, penyelesaian masalah, membuat keputusan dan kawalan emosi akan berkembang sepenuhnya apabila seseorang individu mencecah usia 20-an (NIMH, 2011). Menurut NIMH (2011) lagi, remaja yang berumur di bawah 20-an masih belum berkembang penuh otaknya menyebabkan ramai di antara remaja tersebut berfikir di luar jangkaan dan masih lemah dalam membuat keputusan.

Selain daripada memberi kesan terhadap emosi dan fizikal, perkahwinan pada usia yang terlalu muda turut membantutkan pendidikan remaja tersebut. Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid berkata, sehingga kini 16,000 remaja perempuan di bawah umur 15 tahun di negara ini mendirikan rumah tangga dan kajian menunjukkan remaja yang berkahwin sebelum umur 18 tahun kehilangan empat tahun persekolahan berbanding orang yang berkahwin lebih lewat. Selain ketinggalan dalam pendidikan setelah berkahwin, keciciran dalam pendidikan sebelum berkahwin juga menjadi salah satu faktor yang menjerumuskan remaja ke dalam pelbagai masalah sosial seperti seks sebelum nikah yang kemudiannya memberikan akibat kepada kenapa perkahwinan bawah umur boleh berlaku (Khadijah Alavi et. al, 2012).

secara kesimpulannya, Isu perkahwinan bawah umur tidak boleh dipandang ringan oleh mana – mana pihak kerana ia boleh memberi impak negatif sekiranya ia tidak ditangani dengan baik. Institusi perkahwinan memerlukan pasangan yang memiliki tahap kematangan yang tinggi bagi menjamin kehidupan keluarga yang baik. Tahap kematangan yang tinggi jarang dimiliki dikalangan golongan bawah umur. Mereka yang berkahwin di bawah umur khususnya kaum wanita akan menerima impak yang lebih khusunya dari aspek kesihatan seperti mengandung diusia yang terlalu muda, terdedah kepada risiko keganasan rumahtangga, terdedah kepada risiko penipuan, terdedah kepada risiko paksaan, risiko menjadi mangsa penganiayaan dan pengabaian, dan lain – lain risiko lagi.Oleh itu, satu usaha sepadu perlu digerakkan bagi menangani isu terbabit. Pihak kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pihak badan – badan bukan kerajaan (NGO) dalam negara kita yang banyak menjalankan kajian mengenai perkara terbabit serta merangka satu undang-undang yang lebih komprehensif serta berkesan bagi mengatasi isu perkahwinan bawah umur dalam negara kita dan pada masa yang sama dapat melindungi serta menjamin keselamatan dan kebajikan golongan terbabit.

Advertisements

One thought on “Perkahwinan KANAK-KANAK Bawah Umur

  1. Sebagai seorang yang kurang setuju dengan tindakan membenarkan perkahwinan bawah umur, penulisan ini telah memberikan alasan yang kukuh untuk menidakkan tindakan membenarkan perkahwinan bawah umur dengan melihat dari aspek kesihatan, psikologi dan pendidikan.
    Aspek ini harus diambil serius sebelum membenarkan individu bawah umur untuk mendirikan rumah tangga. Hal ini kerana seperti yang kita sedia maklum, isu perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh dibawa main-main khususnya dalam konteks masyarakat Melayu kita yang agak konservatif. Sehubungan dengan itu, tindakan penulis untuk mengutarakan aspek-aspek ini sebagai isi penulisan sangat penting sebagai langkah untuk membuka mata khalayak akan dinamika isu ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s